Tuesday, December 16, 2008

PUISI MUTAKHIR SANGURU

Makamkan dukamu bangsaku

Telah datang sinar terang
menerangi Teluk Marudu
satu petanda
dukamu bakal mati
(Riamu bakal hidup)

Nanti kita makamkan
duka bangsa
di dasar Teluk Marudu
sebagaimana tenggelamnya
H.M.S Marlin
di tangan wira pribumi
(sejarah itu bakal berulang)

Angkat mukamu bangsaku
kerana kita bukanlah
bangsa yang tidak punya apa-apa
siapa-siapa...
(barangkali engkau saja tidak menyedari?)

Telah kusediakan bahtera bangsa
melayari samudera
seumpama akiku
Panglima Tumunda

*T&G III*

Friday, December 12, 2008

KARYA PEMBACA

Berikut dua rangkap pantun kiriman (sms) pembaca:

Teluk Marudu lautnya biru
tempat nelayan mencari makan
apa gunanya seribu ilmu
jika lupa kampung halaman

Tanjung batu indah dipandang
menyimpan sejarah seribu kenangan
meski desaku jauh ketinggalan
aku tak malu mengaku kampungan

Nukilan: CT, Tg. Batu

Komen Editor: Sajak yang sederhana tapi masejnya cukup jelas. Tahniah dan terim kasih.

SAJAK PEMBACA

Saya siarkan satu lagi sajak yang disms oleh pembaca blog ini. Sajak beliau ringkas tapi berjaya menarik perhatian saya.

Aku ingin jadi berani

Setelah sekian lama bergelar pengecut,
gema suaramu menjadikan aku jadi berani
aku tidak ingin lagi sekadar melihat dan mendengar
bangsaku dihina dan diperbodohkan
oleh tangan-tangan durjana.

Aku ingin jadi berani
seperti moyangku
yang membelah lautan
dan meredah belantara
sebagai lelaki sejati.

Aku ingin jadi berani,
sebenar-benar berani.

Nukilan: Zack, Langkon.

Komen Editor:
Gaya penulisan penyajak ini mengingatkan saya kepada penyajak seperti Zean Kasturi. Walaupun ringkas dan bersahaja tapi intipatinya kuat dan masejnya jelas. Menurut penelitian saya, penulis boleh pergi jauh jika terus berkarya. Tahniah dan teruskan berusaha.

Thursday, December 11, 2008

SAJAK PEMBACA

Saya menerima beberapa sajak daripada pembaca yang saya nilai sangat bagus. Berikut satu sajak yang saya fikir antara yang terbaik setakat ini:

DUKAMU DI HATIKU

(Nelayanku,
sahabatku.
Petaniku,
saudaraku. Dengan tinta air mata kasih
kutulis sajak ini khas untukmu)

Telah kerap benar kudengar lagu dukamu
berkumandang lewat angin Teluk Marudu.
cerita tentang pukat yang rabak
kisah nelayan tua dengan sampan dayungnya
riwayat nelayan kecil yang kepayahan mencari
sesuap nasi untuk hari ini
sementara esok hari masih belum pasti.

Telah kerap kudengar lagu dukamu
dikhabarkan dek angin petang dari lembah Marudu
cerita tentang sawah yang kontang
kisah tentang petani tua padinya berbuah hampa,
riwayat petani kecil yang keperitan menelan mimpi,
sedang kinabalu begitu perkasa di hadapan mereka
sementara esok tidak menjanjikan apa yang pasti.

Sahabat dan saudaraku,
dukamu di hatiku,
akrab dan lekat selalu.

Pengirim: Buruntik, Tandek, Kota Marudu, Sabah.

Ulasan Editor Suara Kinabalu:

Penulis muda ini berpotensi untuk menjadi penyair yang bagus kalau terus aktif belajar terus belajar; berkarya terus berkarya. Semacam ada jati diri yang kuat dalam sukmanya, sesuatu yang sudah jarang ada dalam penulis muda masa kini. Penggunan bahasa biasa yang boleh mengungkapkan visi luar biasa. Sajak yang mudah difahami, dan rasanya mudah menyentuh rasa pembaca. Ada kekuatan dalam masej dan penggunaan aksara kata. Teruskan!

Wednesday, December 10, 2008

PERLUKAH GURU UNTUK MENJADI PENULIS?

Jawapan kepada pertanyaan di atas ialah : SANGAT PERLU, jika anda ingin menjadi penulis yang bagus. Bagus maksud saya mampu menulis dengan berkesan. Berkesan maksud saya, dapat meyakinkan orang dan seterusnya merubah minda orang.

sebenarnya setiap kita sudah ada guru. Guru Bahasa Malaysia/Inggeris/Cina/India kita di sekolah sudahpun mengajar kita cara menulis yang baik. Menulis karangan itu satu latihan menjadi penulis. Kalau mahu lebih berketrmpilan, kenalah banyak membaca tulisaan orang-orang yang terkenal. Saya sejak kecil sudah baca teks orang dewasa. Belum pun masuk sekolah menengah, saya sudah habis baca buku-buku kakak dan jiran-jiran saya yang belajar di tingkatan enam. Dengan membaca, kita bukan setakat dapat info tetapi juga kemahiran menulis yang baik. Cara berhujah dalam tulisan. Cara memberi contoh. Dan macam-macam cara lagi.

Jadi, kalau anda ingin cemerlang dalam penulisan, rajin-rajinlah berguru. Rajin-rajinlah baca buku. Dan...rajin-rajinlah menulis. InsyaAllah...kemahiran anda akan bertambah baik dari hari ke hari.

Saturday, December 6, 2008

PENULIS BOLEH KAYA?

Di Malaysia, tidak ramai penulis jadi kaya raya. Kalau pun ada, masyarakat semacam tidak percaya kekayaannya datang melalui aktiviti penulisan. Jadi tidak hairan jika sangat jarang kanak-kanak akan berkata: "cita-cita saya jadi penulis". Berbeza dengan di barat atau Eropah. Di negara maju, penulis boleh kaya. Kenapa? Sebab utama ialah masyarakat di sana cintakan ilmu. Mereka ada budaya membaca. Ini yang belum wujud dalam masyarakat kita. Itulah sebabnya, buku-buku tulisan karyawan tempatan tidak laris walaupun baik mutunya. Bila tidak laris, maka bilangan cetakan pun sedikit. Bila sedikit, wang masuk ke poket penulis pun sedikit. Maka? - penulis di negara kita susah mau kaya. Tapi yakinlah, lambat laun negara kita akan menjadi maju juga, maka kalian orang muda, tingkatkan tahap penulisan. Hari muka adalah hari anda. Pada era itu - PENULIS BOLEH KAYA...

Friday, December 5, 2008

BAGAIMANA MENGEMBANGKAN BAKAT DAN POTENSI?

Tidak ada yang menyoal soalan ini sedangkan ini soalan wajib ditanya penulis yang berjiwa besar dan bercita-cita tinggi. Untuk kembangkan bakat dan potensi, jangan menulis sekadar suka-suka. Kalau Mawi ingin nyanyi suka-suka, tentu dia tidak jadi popular macam sekarang.

Remaja sekarang bertuah. Ada banyak medium untuk mengembangkan bakat. Blog misalnya wadah yang paling mudah. Tapi, blog sendiri tak syok sebab sendiri tulis sendiri siar. Kalau zaman saya dulu, hanya akhbar, majalah dan radio jadi media. Susah betul mau tembus sebab saingan banyak. Setelah berpuluh karya diajukan kepada editor barulah terbit rencana. Tapi bila dah mulai tembus satu, senang-senang dapat tembus di tempat lain. Maklumlah sudah mulai ada nama. Begitulah kalau mau berkembang. Perlu tembusi sempadan. Memang akan gagal dahulu. its ok, itu pun akan mengajar kita lebih matang dalam berkarya. Setiap kejayaan pula akan menjadi pendorong kendiri yang sangat kuat. AYUH BERKARYA! - Editor Suara Kinabalu.