Friday, December 26, 2008

PEREMPUAN...

Aku masih ingat masa mahasiswa dulu aku produktif betul tulis sajak. Cari makan punya hal. Aku selalu hantar sajak tentang PEREMPUAN ke majalah wanita dan majalah Perempuan. Selalu "tembus" sebab dalam surat iringan kepada Editor, ada saya selitkan tentang kejayaan itu-ini diperingkat kebangsaan. So, itu pun antara sebab mengapa editor "segan" nak tolak kot? Okay, kali ini saya cuba tulis sajak tentang perempuan. Saya terdorong tulis sajak ini bila masuk blog yang follow blok saya. Umpamanya si melati duka dan mawar desa. Juga saya tertarik dengan kelelakian Awang muslihat tentang perempuan.

Perempuan

keegoanku pernah lebur
di dadamu.
kejantananku pernah luluh
di kakimu.
kebijaksanaanku pernah sasau
di pangkuanmu.

hanya sisa takwa dan iman
yang menjadi ranting pautan
sebelum aku lemas
hanyut di sungai khayal.

seorang perempuan
yang lembut tingkahnya
yang manis bicaranya
yang kuyu matanya
yang anggun pekertinya
pernah mengamit seorang abid
keluar dari gua tafakurnya
hampir hilang
kesufianya*...

Kota Marudu, Sabah.
26/12/2008

(*) Kisah benar mengenai seorang sufi/abid/wali yang tergoda oleh pelacur israil kelas tinggi. Cerita lanjut, sila cari dalam kisah para sufi/wali.

Monday, December 22, 2008

PANTUN NASIHAT UNTUK ORANG DI BUKIT

Kinabalu mencapai awan
jadi ilham para seniman
jangan mudah terbujuk habuan
nanti keturunan tidak berlaman

tanam padi benih seberang
tumbuh hijau indah dipandang
kalau mudah menelan temberang
lambat laun sehelai sepinggang

hujan panas di negeri orang
hujan batu di negeri sendiri
biarpun elok dipimpin orang
baiklah lagi dipimpin orang sendiri

Kiriman Melalui SMS : Micky, Tandek.

Saturday, December 20, 2008

KARYA DARI HATI KEPADA HATI

Kata guruku, karya yang baik hendaklah lahir dari hati dan mampu membekas di hati orang lain. Ada sentuhan pada hati kerana asalnya dari hati. Tapi bukan ikut sedap hati. Dan bukan juga merdek dari pemantauan dek akal.

"Karya dari hati" bermaksud ia terhasil akibat perasaan dalam hati. Karya akan menjadi ikhlas dan syahdu jika lahir dari hati. Karya yang lahir dari kepala (otak), bagus juga tapi akan kelihatan kurang keseniannya, kerana "akal" selalunya berfikir, bila karya itu difikir, dan bukannya datang dari ilham, memang ada sedikit kecacatannya.

Pengalaman saya mengkuti berbagai sayembara mendapati, saya "tahu" bila masa saya menang dan bila masa saya kalah. Kalau karya yang saya hasilkan itu disiapkan secara spontan dan dikerjakan dengan perasaan senang hati, biasanya saya menang. Tapi bila karya saya susah nak "lahir dari benak", dan hati saya tidak "enjoy" bikin, belum pernah saya menang.

Itulah kehebatan "Karya dari hati/jiwa". Ia lebih indah, ada rasa, ada sentuhannya...

Tuesday, December 16, 2008

PUISI MUTAKHIR SANGURU

Makamkan dukamu bangsaku

Telah datang sinar terang
menerangi Teluk Marudu
satu petanda
dukamu bakal mati
(Riamu bakal hidup)

Nanti kita makamkan
duka bangsa
di dasar Teluk Marudu
sebagaimana tenggelamnya
H.M.S Marlin
di tangan wira pribumi
(sejarah itu bakal berulang)

Angkat mukamu bangsaku
kerana kita bukanlah
bangsa yang tidak punya apa-apa
siapa-siapa...
(barangkali engkau saja tidak menyedari?)

Telah kusediakan bahtera bangsa
melayari samudera
seumpama akiku
Panglima Tumunda

*T&G III*

Friday, December 12, 2008

KARYA PEMBACA

Berikut dua rangkap pantun kiriman (sms) pembaca:

Teluk Marudu lautnya biru
tempat nelayan mencari makan
apa gunanya seribu ilmu
jika lupa kampung halaman

Tanjung batu indah dipandang
menyimpan sejarah seribu kenangan
meski desaku jauh ketinggalan
aku tak malu mengaku kampungan

Nukilan: CT, Tg. Batu

Komen Editor: Sajak yang sederhana tapi masejnya cukup jelas. Tahniah dan terim kasih.

SAJAK PEMBACA

Saya siarkan satu lagi sajak yang disms oleh pembaca blog ini. Sajak beliau ringkas tapi berjaya menarik perhatian saya.

Aku ingin jadi berani

Setelah sekian lama bergelar pengecut,
gema suaramu menjadikan aku jadi berani
aku tidak ingin lagi sekadar melihat dan mendengar
bangsaku dihina dan diperbodohkan
oleh tangan-tangan durjana.

Aku ingin jadi berani
seperti moyangku
yang membelah lautan
dan meredah belantara
sebagai lelaki sejati.

Aku ingin jadi berani,
sebenar-benar berani.

Nukilan: Zack, Langkon.

Komen Editor:
Gaya penulisan penyajak ini mengingatkan saya kepada penyajak seperti Zean Kasturi. Walaupun ringkas dan bersahaja tapi intipatinya kuat dan masejnya jelas. Menurut penelitian saya, penulis boleh pergi jauh jika terus berkarya. Tahniah dan teruskan berusaha.

Thursday, December 11, 2008

SAJAK PEMBACA

Saya menerima beberapa sajak daripada pembaca yang saya nilai sangat bagus. Berikut satu sajak yang saya fikir antara yang terbaik setakat ini:

DUKAMU DI HATIKU

(Nelayanku,
sahabatku.
Petaniku,
saudaraku. Dengan tinta air mata kasih
kutulis sajak ini khas untukmu)

Telah kerap benar kudengar lagu dukamu
berkumandang lewat angin Teluk Marudu.
cerita tentang pukat yang rabak
kisah nelayan tua dengan sampan dayungnya
riwayat nelayan kecil yang kepayahan mencari
sesuap nasi untuk hari ini
sementara esok hari masih belum pasti.

Telah kerap kudengar lagu dukamu
dikhabarkan dek angin petang dari lembah Marudu
cerita tentang sawah yang kontang
kisah tentang petani tua padinya berbuah hampa,
riwayat petani kecil yang keperitan menelan mimpi,
sedang kinabalu begitu perkasa di hadapan mereka
sementara esok tidak menjanjikan apa yang pasti.

Sahabat dan saudaraku,
dukamu di hatiku,
akrab dan lekat selalu.

Pengirim: Buruntik, Tandek, Kota Marudu, Sabah.

Ulasan Editor Suara Kinabalu:

Penulis muda ini berpotensi untuk menjadi penyair yang bagus kalau terus aktif belajar terus belajar; berkarya terus berkarya. Semacam ada jati diri yang kuat dalam sukmanya, sesuatu yang sudah jarang ada dalam penulis muda masa kini. Penggunan bahasa biasa yang boleh mengungkapkan visi luar biasa. Sajak yang mudah difahami, dan rasanya mudah menyentuh rasa pembaca. Ada kekuatan dalam masej dan penggunaan aksara kata. Teruskan!

Wednesday, December 10, 2008

PERLUKAH GURU UNTUK MENJADI PENULIS?

Jawapan kepada pertanyaan di atas ialah : SANGAT PERLU, jika anda ingin menjadi penulis yang bagus. Bagus maksud saya mampu menulis dengan berkesan. Berkesan maksud saya, dapat meyakinkan orang dan seterusnya merubah minda orang.

sebenarnya setiap kita sudah ada guru. Guru Bahasa Malaysia/Inggeris/Cina/India kita di sekolah sudahpun mengajar kita cara menulis yang baik. Menulis karangan itu satu latihan menjadi penulis. Kalau mahu lebih berketrmpilan, kenalah banyak membaca tulisaan orang-orang yang terkenal. Saya sejak kecil sudah baca teks orang dewasa. Belum pun masuk sekolah menengah, saya sudah habis baca buku-buku kakak dan jiran-jiran saya yang belajar di tingkatan enam. Dengan membaca, kita bukan setakat dapat info tetapi juga kemahiran menulis yang baik. Cara berhujah dalam tulisan. Cara memberi contoh. Dan macam-macam cara lagi.

Jadi, kalau anda ingin cemerlang dalam penulisan, rajin-rajinlah berguru. Rajin-rajinlah baca buku. Dan...rajin-rajinlah menulis. InsyaAllah...kemahiran anda akan bertambah baik dari hari ke hari.

Saturday, December 6, 2008

PENULIS BOLEH KAYA?

Di Malaysia, tidak ramai penulis jadi kaya raya. Kalau pun ada, masyarakat semacam tidak percaya kekayaannya datang melalui aktiviti penulisan. Jadi tidak hairan jika sangat jarang kanak-kanak akan berkata: "cita-cita saya jadi penulis". Berbeza dengan di barat atau Eropah. Di negara maju, penulis boleh kaya. Kenapa? Sebab utama ialah masyarakat di sana cintakan ilmu. Mereka ada budaya membaca. Ini yang belum wujud dalam masyarakat kita. Itulah sebabnya, buku-buku tulisan karyawan tempatan tidak laris walaupun baik mutunya. Bila tidak laris, maka bilangan cetakan pun sedikit. Bila sedikit, wang masuk ke poket penulis pun sedikit. Maka? - penulis di negara kita susah mau kaya. Tapi yakinlah, lambat laun negara kita akan menjadi maju juga, maka kalian orang muda, tingkatkan tahap penulisan. Hari muka adalah hari anda. Pada era itu - PENULIS BOLEH KAYA...

Friday, December 5, 2008

BAGAIMANA MENGEMBANGKAN BAKAT DAN POTENSI?

Tidak ada yang menyoal soalan ini sedangkan ini soalan wajib ditanya penulis yang berjiwa besar dan bercita-cita tinggi. Untuk kembangkan bakat dan potensi, jangan menulis sekadar suka-suka. Kalau Mawi ingin nyanyi suka-suka, tentu dia tidak jadi popular macam sekarang.

Remaja sekarang bertuah. Ada banyak medium untuk mengembangkan bakat. Blog misalnya wadah yang paling mudah. Tapi, blog sendiri tak syok sebab sendiri tulis sendiri siar. Kalau zaman saya dulu, hanya akhbar, majalah dan radio jadi media. Susah betul mau tembus sebab saingan banyak. Setelah berpuluh karya diajukan kepada editor barulah terbit rencana. Tapi bila dah mulai tembus satu, senang-senang dapat tembus di tempat lain. Maklumlah sudah mulai ada nama. Begitulah kalau mau berkembang. Perlu tembusi sempadan. Memang akan gagal dahulu. its ok, itu pun akan mengajar kita lebih matang dalam berkarya. Setiap kejayaan pula akan menjadi pendorong kendiri yang sangat kuat. AYUH BERKARYA! - Editor Suara Kinabalu.

Thursday, December 4, 2008

BAGAIMANA CARI IDEA?

Ada pembaca sms, bertanya: bagaimana cari idea tulis sajak atau cerpen?

Jawapan: penulis adalah insan yang kreatif, yang menggunakan segala pancaindera untuk mengesan sesuatu yang boleh ditulis. Pun demikian, ada kalanya ilham itu tiba-tiba datang ke dalam minda atau terdetik di hati. Misalnya, masa duduk-duduk minum kopi di restoran, anda nampak orang kaya cakap besar dengan peminta sedekah, anda mungkin tergamit untuk "mengulas" kejadian tidak menyenangkan itu. Misalnya, boleh ditulis begini:

"mengapa teralu sukar sekeping syiling kelur dari dompet ringgitan?"
atau "mufliskah seorang hartawan jika mengasihani seorang lelaki tua yang
menadah tangan?..."
atau "mengapa syukur dan tamak tidak dapat bermukim bersama di dalam hati?"

Macam-macam cara dapat dinukilkan idea yang datang. Itulah sebabnya, sesetengah penulis tidak berenggan dengan buku nota dan pen, kerana idea itu boleh datang secara tiba-tiba. Seperti jua jurufoto yang asyik berkepit dengan kamera kesayangannya.

Nah, harap yang bertanya dapat sedikit informasi berguna. Jangan risau, selangkah anda menjadi penulis, sepuluh langkah idea itu akan mendekati sdr!
SELAMAT MENJADI PENULIS. MARUDU BOLEH!!!

Wednesday, December 3, 2008

SOAL JAWAB SASTERA

E-mail pembaca: saya ingin tahu, mana lebih susah, bikin sajak atau cerpen? Sebb saya baru ingin berkecimpung. (Mawarmuda, Kg. Marudu Laut).

Jawapan: Susah mau jawab dengan tepat. Bagi penulis sajak, bikin sajak mudah. Bagi penulis cerpen, bikin cerpen mudah. Cubalah menulis kedua-dua genre. Bandingkan mana lebih bagus. Pilih yang lebih bagus sebagai fokus. Anda akan dapati itu lebih mudah bikin. Ingat, setakat bikin saja tak cukup, yang paling penting mutunya. Umphhh...nya.

SAJAK: AKU MASIH INGAT

Aku masih ingat; bapaku menuding kinabalu dan berbangga dengan USNO nya, dengan Tun. Katanya: nabalu adalah lambang ketinggian jiwa dalam kerendahan hati bangsa pribumi, dan Tun adalah wira Teluk Marudu. Aku masih ingat dan kekal mengingati.

Aku masih ingat, takala aku dikatakan sebagai peminta sedekah kemerdekaan. Bicara sorang kawan siswa Melayu yang tolol tentang sejarah. Kuingt juga - kebodohan seorang pensyarah Melayu bergelar doktor falsafah, yang akhirnya aku tewaskan di dewan kuliah. Aku bukan mahaguru sejarah negarabangsa. Sejarah yang jelas sudah terpahat, tidak mungkin bisa diputarbelitkan sewenangnya. Hatta seorang kanak-kanak pun tahu - Tun tidak mencium tangan Tunku meminta merdeka. Sejarah telah memaktubkan bahawa negeri tercinta ini segandingan tangan mendiri Malaysia.

Aku ingin mengingatkan : jangan putarkan sejarah dan kau anak bangsaku - JANGAN MENJADI TOLOL!

* T&G III,
3/12/2008

SUARA PARA BANJINGAN

sekian lama aku pekakkan telinga dari
mendengar suara para banjingan
yang mengegar jagat sukma
- seumpama suara kawanan anjing
menyalak bukit
hanya menganggu damai lenaku
di kamar tenang.

kekadang para banjingan itu
memasuki laman astanaku
mengetuk kamar
dan ingin membawaku
tapi ku kata:
semalam seekor kaldai telahpun
datang ke sini
(ia juga gagal membujukku
menaiki gunung igauan kalian).

aku pun ada suara.
di sini, di dada ini.
yang sekian lama
sudah terlalu lama
tersirat, terbuku dan terpendam.
(ku kira mereka sedang menungguku
di simpang mengayau.)

bubar sajalah kalian.
basuhlah debu di telapak hati,
jejaki nanti langkah-langkah perjuangan
(tandanya akan kutinggalkan
buat pedoman).

* B3, T&GIII
04/11/2008 (10.09 am).

BAGAIMANA MEMULAKAN LANGKAH JADI PENULIS

Seseorang yang mengelar dirinya "Dewimarudu" bertanya: Bagaiman memulakan karier sebagai penulis?

Jawapan: hendaklah benar-benar berminat dan belajar melalui pembacaan atau mengikuti bengkel atau melalui bimbingan (misalnya yang saya wujudkan dalam laman blog ini). Kemudian, cubalah tulis apa sahaja. Sebagai permulaan, biarlah yang ringan-ringan dulu. Kemudian mesti berani mencuba menghantar karya ke akhbar atau majalah. Jangan putus asa jika karya anda tidak disiarkan. Cuba dan terus mencuba sambil terus belajar dari kegagalan atau kelemahan. Inilah yang saya praktikkan. - Editor SK.

SUARA YANG TERPENDAM

Sudah sekian lama
terlalu lama
terlalu pedih
terlalu membebankan
-benar
-jiwa
-harga diri

sudah sekian lama
terlalu ingin benar
suaralarva itu
-ingin meletus
melimpahi kota dan desa
melalui simpang siur sejarah
bermukim di tiap perdesaan
bahkan ingin mampir
di hadapan mahligaimu!

sudah hampir detiknya
tanih gersang menjadi subur
rahmat larva yang terpendam
di dada kinabalu.

-puteramarudu,
04/12/2008
(03:20 m)